Tuesday, July 14, 2020

Iman dan Fitrah Manusia

Bismillahirrahmanirrahim...

Iman. Apa itu iman? Iman itu dalam bahasa kita, percaya. Kita manusia dalam diri sentiasa percaya wujudnya tuhan Yang Esa. Walaupun ada orang yang kata sebaliknya, tapi dalam lubuk hati yang paling dalam tetap ada kepercayaan itu. Di mulutnya sahaja tidak percaya.

Fitrah. Apa itu fitrah? Manusia dicipta mempunyai fitrah yang sentiasa diingin untuk dipenuhi. Kalau lapar, fitrahnya mahu makan. Kalau dahaga, fitrahnya mahu minum. Kalau sudah dewasa akil baligh, fitrahnya mahu menikah. Manusia tidak dapat lari dari fitrah ini. 


Begitulah juga dalam beragama. Fitrah manusia sentiasa ingin menyembah Sang Maha Esa. Perhatikan orang-orang lama. Ditemunya pohon besar disangka gah dan kuat. Lalu, disembahnya pohon itu. Ditemunya laut disangka pemberi rezeki. Lalu, disembahnya laut itu. Manusia itu tahu dia hamba. Cuma dia lupa siapa Penciptanya. Manusia telah menyaksi keEsaan Allah sebelum dilahir ke bumi. Bila tiba di dunia, tercari-cari semula yang menjadikan dia sebagai manusia.

Begitulah kita. Sekiranya tidak mendalami ilmu yang disuluh pesuruh Ilahi, maka tercari-carilah kita dalam kesesatan. Damping lah kita dengan yang arif dan alim dalam beragama supaya kita tidak lelah sendirian dalam pencarian. Itulah indahnya Islam. Hidup dalam kawanan jemaah yang sentiasa saling ingat mengingati kepada Pencipta.


p/s. Sedikit catatan sendiri daripada syarahan yang disampaikan Ustaz Abdul Somad.

Wednesday, June 24, 2020

2020: Tahun Berduka

Bismillahirrahmanirrahim..

Lama sangat sebenarnya tak bukak blog ni. Kalau tengok last update dah dekat 4 tahun dah, 2017 yang lalu. Sekarang 2020. Tahun yang ramai orang kata nak tengok kereta terbang. Tapi hakikatnya beza sekali. Belum muncul pun kereta terbang yang ditunggu tu.


2020. Politik negara tak pernah sunyi. Setiap hari akan ada bunyi rebut kerusi, jawatan, khianat dan sebagainya. Kejar dunia, memang tak pernah habis. Dan yang paling memahat sejarah dunia, Corona Virus atau lagi terkenal COVID-19. Kenapa 19? Sebab pertama kali ditemui pada tahun 2019 di Wuhan, China. Puncanya? Entah lah. Ada yang kata dari pemakanan exotic orang di Wuhan tu. Ada yang kata dari makmal. Wallahu'alam. Allah saja yang lebih tahu dari mana virus tu datang.

Penangan COVID-19 ni cukup besar. Bukan saja kat China, malah di seluruh dunia. Awal pengesanan virus ni, dunia tak ambil endah sangat. Ambil ringan seolah akan berlalu seperti angin bertiup walaupun masa tu keadaan di sana dah menunjukkan tanda yang kritikal. Di Malaysia, kerajaan tidak mengambil langkah pencegahan awal seperti menghalang kemasukan pelancong dari negara tersebut yang berpotensi menjadi agen penyebar, malah menyeru rakyat sendiri untuk menerima mereka. Hal ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat. Akibat sikap acuh tak acuh dunia terhadap isu ini, ia telah merebak ke seluruh dunia dan Malaysia turut tidak terlepas.

Dalam kesibukan melawan COVID-19, tiba-tiba negara dikejutkan dengan pengumuman PM, Tun Mahathir yang meletak jawatan beliau dek kerana isu dalaman PH yang tak pernah sunyi dengan perebutan jawatan. Fast forward, YDP Agong telah melantik PM baru buat Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PM-8. PM baru lantik menteri-menteri baru. Selepas tu, dilaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), PKPB (Perintah Kawalan Pergerkan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) yang bertujuan untuk mengawal virus korona untuk merebak ke seluruh negara. Hasilnya, Malaysia diiktiraf antara negara terbaik melawan virus ni.

Sekarang, Malaysia menunjukkan tanda-tanda yang positif dalam pemulihan pelbagai sektor termasuk ekonomi dan sebagainya, Sekolah pun dah mula buka untuk guru dan murid. Bermula 24 Jun dibuka untuk murid form 5 dan form 6. Dan antara highlight penting dalam sektor pendidikan, KPM mengeluarkan Pindaan Penggal Persekolahan 2020. Tempoh persekolahan ditarik hingga 18 Disember 2020. Kesannya, cuti penggal 2 dan cuti hujung tahun dipendekkan. Sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah pendidikan Malaysia. Sememangnya perubahan ni memberi kesan kepada semua pihak dan guru-guru antara yang paling merasainya. 

Kenapa perlu dilanjut tempoh persekolahan sedangkan semasa PKP, PdPc tetap berlangsung secara maya? Itu antara rungutan yang didengari. Aku faham keadaan ini. Guru-guru ini bukan bermaksud menafikan pembelajaran murid-murid. Namun apa yang lebih menjadi perhatian, cuti-cuti dipendekkan. Hal ini memberi kesan kepada guru yang PJJ dengan suami isteri atau yang sudah tidak bertemu dengan ibu bapa sekian lama bagi yang berada di Borneo. Antara cuti yang dinanti ialah raya haji yang asalnya jatuh dalam cuti penggal selama 9 hari iaitu dari 25 Jun hingga 2 Ogos. Sekarang jadi 3 hari cuti raya haji (31 Julai - 1 Ogos) dan 5 hari cuti penggal (20 Ogos - 24 Ogos). Tarikhnya berasingan pula. Untuk cuti hujung tahun daripada 41 hari (21 Nov - 31 Dis) kepada 14 hari (19 Dis - 31 Dis). Tiket flight semua dah beli. Ibu bapa ternanti-nanti.

Sesungguhnya tahun 2020 ini merupakan tahun yang mencabar buat semua. Tahun 2020 akan menjadi tahun yang paling diingati bagi yang berada di dalamnya. Kita telah menyaksikan lakaran sejarah penting buat diri, negara dan dunia. Bayangkan, ibadah haji yang tiap-tiap tahun tak putus orang kerjakan tetapi tahun ini tiada buat rakyat Malaysia. Itu memang real punya mencabar.

Apapun semoga tahun ini berlalu dengan lebih baik dan gembira. Paling penting, semoga Allah merahmati kita semua dalam setiap apa yang kita lakukan. Allah lah yang menurunkan ujian dan Dia lah juga yang akan menariknya kembali. Allah lah yang memberi kedukaan dan Allah jua yang menurunkan pelangi. Yakin lah setiap apa yang kita lalui tidak sia-sia.

Sekian, sembang kali ni. Harap rajin nak conteng lagi lepas ni.

Thursday, December 21, 2017

Permudahkanlah Ya Allah

Bismillahirrahmanirrahim...

Ya Allah, ampunilah segala dosa dan khilafku, ya Allah. Aku selalu hanya mencariMu bila dalam kesusahan, dan sering pula melupakanMu bila datangnya senang.

Ya Allah, hambaMu ini sangat lemah, ya Allah. Engkau lah pemilik hatiku, Engkau yang memberinya nikmat iman, dan Engkau jua lah yang mampu menghilangkannya. Engkau pemilik hidayah, ya Allah, maka isikanlah hati ini dengan cinta untuk dekat denganMu.

Ya Allah, hari ini benda yang aku tak jangka berlaku telah terjadi. Mungkin lebih tepat benda yang aku nanti utk berlaku telah berlaku. Dan tiada sesuatu yang berlaku tanpa pengetahuanMu dan sesungguhnya perancanganMu lah yang terbaik.

Ya Allah, seandainya insan yang ku temui ini, kehadirannya adalah baik untuk agamaku, akhiratku, duniaku, keluargaku, dan insan disekeliling ku, maka Engkau permudahkanlah urusan kami. Satukanlah hati kami dalam redha dan rahmatMu. Jadikan lah hati kami sentiasa berpaut pada tali agamaMu, memburu cinta dan redhaMu, sentiasa mengingatiMu setiap masa.

Ya Allah, jagakan lah hati kami agar tiada dalam tempoh perkenalan ini berlaku sesuatu yang di luar dari redhaMu. Tiada hubungan yang lebih sempurna tanpa rahmat dari Mu. Limpahkan lah rahmatMu kepada kami. Jaga lah hatiku dan hatinya.

Ya Allah, perkenankan lah doaku.

Thursday, August 27, 2015

Fun in the Farm

Wan Chik is a farmer. He has a big farm in Perak.

Last Saturday morning, I visited his farm. It was a big farm. I saw some ducks and some chicks. I also saw a white kid. It only had three legs.

Then I had lunch with Wan Chik. We had a long chat. Wan Chik gave me some yam chips. I was happy. Later in the evening, I went home

Tuesday, November 4, 2014

Dan Semalam

Bismillahirrahmanirrahim...


Semalam
detik yang bila ku kenang
terasa hangat gerimis
bergenang di kelopak

Semalam
bila ku pejamkan mata
mengimbas cerita kita
terukir senyum di bibir
indah

Semalam
telah tersurat
menjadi lipatan sejarah
dalam memoir aku dan kau
kenangan kita

Dan semalam
apakah akan berulang
saat suka
saat duka
perjalanan bersama
yang bila ku kenang ia
luluh rasa
pedih raga
basah mata
namun tetap tersenyum jua


02:16 | GA311 | IPGKPP