Wednesday, June 24, 2020

2020: Tahun Berduka

Bismillahirrahmanirrahim..

Lama sangat sebenarnya tak bukak blog ni. Kalau tengok last update dah dekat 4 tahun dah, 2017 yang lalu. Sekarang 2020. Tahun yang ramai orang kata nak tengok kereta terbang. Tapi hakikatnya beza sekali. Belum muncul pun kereta terbang yang ditunggu tu.


2020. Politik negara tak pernah sunyi. Setiap hari akan ada bunyi rebut kerusi, jawatan, khianat dan sebagainya. Kejar dunia, memang tak pernah habis. Dan yang paling memahat sejarah dunia, Corona Virus atau lagi terkenal COVID-19. Kenapa 19? Sebab pertama kali ditemui pada tahun 2019 di Wuhan, China. Puncanya? Entah lah. Ada yang kata dari pemakanan exotic orang di Wuhan tu. Ada yang kata dari makmal. Wallahu'alam. Allah saja yang lebih tahu dari mana virus tu datang.

Penangan COVID-19 ni cukup besar. Bukan saja kat China, malah di seluruh dunia. Awal pengesanan virus ni, dunia tak ambil endah sangat. Ambil ringan seolah akan berlalu seperti angin bertiup walaupun masa tu keadaan di sana dah menunjukkan tanda yang kritikal. Di Malaysia, kerajaan tidak mengambil langkah pencegahan awal seperti menghalang kemasukan pelancong dari negara tersebut yang berpotensi menjadi agen penyebar, malah menyeru rakyat sendiri untuk menerima mereka. Hal ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat. Akibat sikap acuh tak acuh dunia terhadap isu ini, ia telah merebak ke seluruh dunia dan Malaysia turut tidak terlepas.

Dalam kesibukan melawan COVID-19, tiba-tiba negara dikejutkan dengan pengumuman PM, Tun Mahathir yang meletak jawatan beliau dek kerana isu dalaman PH yang tak pernah sunyi dengan perebutan jawatan. Fast forward, YDP Agong telah melantik PM baru buat Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PM-8. PM baru lantik menteri-menteri baru. Selepas tu, dilaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), PKPB (Perintah Kawalan Pergerkan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) yang bertujuan untuk mengawal virus korona untuk merebak ke seluruh negara. Hasilnya, Malaysia diiktiraf antara negara terbaik melawan virus ni.

Sekarang, Malaysia menunjukkan tanda-tanda yang positif dalam pemulihan pelbagai sektor termasuk ekonomi dan sebagainya, Sekolah pun dah mula buka untuk guru dan murid. Bermula 24 Jun dibuka untuk murid form 5 dan form 6. Dan antara highlight penting dalam sektor pendidikan, KPM mengeluarkan Pindaan Penggal Persekolahan 2020. Tempoh persekolahan ditarik hingga 18 Disember 2020. Kesannya, cuti penggal 2 dan cuti hujung tahun dipendekkan. Sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah pendidikan Malaysia. Sememangnya perubahan ni memberi kesan kepada semua pihak dan guru-guru antara yang paling merasainya. 

Kenapa perlu dilanjut tempoh persekolahan sedangkan semasa PKP, PdPc tetap berlangsung secara maya? Itu antara rungutan yang didengari. Aku faham keadaan ini. Guru-guru ini bukan bermaksud menafikan pembelajaran murid-murid. Namun apa yang lebih menjadi perhatian, cuti-cuti dipendekkan. Hal ini memberi kesan kepada guru yang PJJ dengan suami isteri atau yang sudah tidak bertemu dengan ibu bapa sekian lama bagi yang berada di Borneo. Antara cuti yang dinanti ialah raya haji yang asalnya jatuh dalam cuti penggal selama 9 hari iaitu dari 25 Jun hingga 2 Ogos. Sekarang jadi 3 hari cuti raya haji (31 Julai - 1 Ogos) dan 5 hari cuti penggal (20 Ogos - 24 Ogos). Tarikhnya berasingan pula. Untuk cuti hujung tahun daripada 41 hari (21 Nov - 31 Dis) kepada 14 hari (19 Dis - 31 Dis). Tiket flight semua dah beli. Ibu bapa ternanti-nanti.

Sesungguhnya tahun 2020 ini merupakan tahun yang mencabar buat semua. Tahun 2020 akan menjadi tahun yang paling diingati bagi yang berada di dalamnya. Kita telah menyaksikan lakaran sejarah penting buat diri, negara dan dunia. Bayangkan, ibadah haji yang tiap-tiap tahun tak putus orang kerjakan tetapi tahun ini tiada buat rakyat Malaysia. Itu memang real punya mencabar.

Apapun semoga tahun ini berlalu dengan lebih baik dan gembira. Paling penting, semoga Allah merahmati kita semua dalam setiap apa yang kita lakukan. Allah lah yang menurunkan ujian dan Dia lah juga yang akan menariknya kembali. Allah lah yang memberi kedukaan dan Allah jua yang menurunkan pelangi. Yakin lah setiap apa yang kita lalui tidak sia-sia.

Sekian, sembang kali ni. Harap rajin nak conteng lagi lepas ni.