Ar-Rahman, adalah asma Allah yang penuh dengan kecintaan dan cinta itu sifatnya memberi dan tidak pernah menerima. Oleh kerana itulah, Allah sentiasa memberi dan tidak pernah menuntut atas apa sekalipun daripada hambaNya.
Sejenak, cuba kita renung...dari mana datangnya cinta ini?
Cinta ialah suatu nikmat dalam bentuk emosi yang positif yang dikurniakan Allah kepada setiap hambaNya.
Kerana itulah, dalam diri setiap manusia sentiasa dahagakan cinta dan kasih sayang. Hatta, Nabi Adam dan Hawa juga bertemu semula di dunia kerana cinta. Cinta yang setia kerana Maha Esa.
Hakikatnya, cinta itu suci. Cinta akan membuatkan kita sentiasa rindu, taat dan sentiasa ingin mendekatkan diri kepada Pencipta Sekalian Alam. Dengan tersebarnya cinta, membuatkan kita semakin bersemangat untuk menjalani kehidupan.
Namun, cinta itu jarang ditemui kini. Fitrah cinta yang sepatutnya seiringan dengan iman, telah dicemari manusia dengan nafsu. Cinta sekarang penuh dengan cinta syahwat. Cinta yang didasari nafsu hukumnya haram!
Cinta ini akan mengotorkan hati dan membuatkan manusia semakin menjauhi Ar-Rahman. Na'uzubillahiminzalik!
Kawallah nafsu. Jangan biarkan ia terus merajai hati!
Musuhilah syaitanirrajim. Sesungguhnya ia adalah musuh yang nyata!